Saturday, October 25, 2008

Seketul hati


Pintu ikhlas

Niat merupakan hati bagi amal.Ianya menjadi asas dalam semua tindak tanduk kita sehinggakan dalam perkara ibadat hatta urusan dunia, hati menjadi enjin utamanya.Hati yang terbaik adalah hati yang dapat melahirkan satu perasaan ikhlas kepada Allah Taala.Daripada ikhlas inilah munculnya gerak kerja perbuatan yang terbaik, bersungguh – sungguh, teliti, mengikut syarak malah barakah dan mendapat pahala.

Setiap orang berlainan ahwal hatinya.Ada yang hatinya dibaja oleh ibu bapanya yang beragama, ada hati yang terbentuk daripada suasana persekitaran, ada yang hatinya memancar nurnya hasil daripada sumber makanan yang halal, ada yang hatinya dibentuk oleh guru agamanya, bahkan ada juga hatinya yang disaluti dengan kegelapan maksiat.Pendek kata, hati manusia itu lain – lain dan bermacam bentuk dan rupa.

Pemurahnya Allah, dia menjadikan pintu ikhlas itu berbeza – beza sebagai satu tanda kebesaran Allah Taala mengetahui perihal hati hambanya yang berbeza – beza.Sepertimana seseorang yang memasuki pintu sebuah gedung pasaraya yang besar, ada yang suka masuk melalui pintu utama, ada yang gemar masuk daripada pintu yang berdekatan kawasan letak kereta, ada juga yang masuk daripada pintu belakang, bawah tanah dan sebagainya.Begitu juga manusia apabila dia mahu memasuki pintu ikhlas.

Mereka memasuki pintu – pintu ikhlas itu sesuai dengan kecenderungan mereka.Di dalam hadis, nabi SAW menyatakan pintu ikhlas itu bermacam – macam.Ada yang memasukinya melalui pintu seorang hamba yang berniaga dengan Allah Taala ( mengharapkan balasan syurga), ada yang memasukinya melalui pintu seorang abdi ( beramal kerana takutkan Allah) dan ada juga yang memasukinya melalui pintu orang yang merdeka ( beramal kerana perasaan syukur dan tidak mengharapkan apa – apa daripada Allah Taala).

Sekali imbas, seolah – olah pintu yang ketiga itu pintu ikhlas yang hakiki tetapi sebenarnya ketiga – tiga pintu itu adalah pintu – pintu ibadat yang ikhlas kepada Allah Taala tetapi martabatnya sahaja yang berbeza.Pokoknya, amalannya ikhlas dan diangkat oleh malaikat ke langit untuk dipersembahkan kepada Allah Taala.



Azam dan fokus

Di dalam falsafah hadis niat yang dikumpulkan oleh Imam Nawawi Rahimahullah, seolah – olah keterangan tentang niat itu diulang sebanyak dua kali.

Pertamanya,

" انما الأعمال بالنية "

“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat”

Keduanya,

" و انما لكل امر ما نوى "

“dan sesungguhnya setiap manusia itu dengan apa yang diniatkan”

Sekali imbas seperti dua kali ianya diulang tentang niat, tetapi sebenarnya hanya yang pertama itu sahaja menerangkan tentang niat.Di sebaliknya, menerangkan terkandung segala jenis peringkat – peringkat yang berkaitan dengan hati seperti hasutan syaitan, lintasan hati, detikan hati, azam dan juga niat ( mahu melakukan sesuatu serentak dengan amal).

Manakala potongan ayat yang kedua itu adalah tentang amal daripada niat ( fokus)

Telitinya jauharah kalam Nabi SAW, potongan ayat yang kedua itu mengandungi falsafah niat yang cukup unik iaitu setiap manusia itu dengan apa yang diniatkan atau yang kita gelar sebagai matlamat dan fokus.Daripada sedikit kalam Rasulullah SAW yang ajaib ini, munculnya segala ilmu – ilmu psikologi yang mengupas tentang keajaiban seketul hati, munculnya modal – modal ahli – ahli motivasi yang hanya menjadikan modul niat dan fokus kepada matlamat dalam membina minda pelajar/pekerja/ahli – ahli korporat sebagai minda kelas pertama.

Lahirnya sebuah niat kemudian kepada gerakan anggota dan kepada pemusatan fikiran dan kerja kepada amal.Hasilnya satu kualiti kerja yang cemerlang.

Lantas, kalam hujjatul Islam imam Al Ghazali sepatutnya menjadi pegangan setiap Muslim yang cemerlang dan mahukan kecemerlangan.

“ Hati itu raja ( memeritah ), akal itu menterinya ( mengatur ), anggota itu rakyatnya ( yang melakukan kerja)”

Beza Muslim dan bukan Muslim

Namun, perlu diingat sebagai Muslim.Orang kafir juga ada niat, ada akal, ada fokusnya.Di sana, Nabi Saw berpesan lagi.Jika niatnya untuk Allah dan rasulnya maka benarlah dia.Jika matlamatnya hanya dunia semata – mata, tunggu sahaja balanya.Maka pembeza antara seorang Muslim dan Kafir adalah Allah dan Rasulnya.Betulkan niat kita, tetapkan matlamat, usaha bersungguh – sungguh, fokus dan tajdidlah hati kita saban hari.

No comments: